Sunday, September 25, 2005

bebal

Saya merasakan di negara kita ini, kesedaran tentang minyak dan arus politik ekonomi minyak amat minima. Saya masih belum melihat berlakunya perbincangkan akademik atau wacana ilmiah dari para pemikir tamadun – jika mereka wujud – tentang peranan minyak dan budaya konsumer yang kita alami hari ini.

Parti-parti politik, dari yang berkuasa hingga ke parti yang bermimpi-mimpi hendak berkuasa, masih gagal memahami implikasi politik minyak. Badan-bandan Ngo kelihatan tidak bermaya untuk memahami apa itu politik minyak. Saya tidak mengharapkan universiti kerana universiti-universiti di negara ini, telah lama ‘mandul’ ilmu. Akhirnya apa yang wujud hanyalah budaya bebal minyak.

Malah, masih ramai yang berpendapat bahawa harga minyak melonjak naik kerana wujudnya spekualsi dari syarikat-syarikat gergasi minyak yang memasung pengeluaran dan pengedaran minyak. Mengikut hujah pandangan garis ini, para spekulasi ini sedang bersekongkol dengan media untuk menakut-nakutkan pengguna agar harga minyak terus dapat dinaikkan.

Sayamenulis, terutama kepada ramai penganut mazhab bebal minyak bahawa bahan bakar minyak petrol ini telah semakin susut. Saya dapati kebebalan yang maha sangat ini, sedang melanda budaya fikir warga negara ini. Sedikit sebanyak, saya dapat memahami kenapa begitu liat sekali kesedaran ini meresap. Dan bagitu susah sikap bebal minyak ini pecah. Dari sudut ilmu falsafah, perkara yang amat susah untuk diterima ialah kebenaran, terutama apabila kebenaran itu akan mengancam pandangan dunia yang sedang dipegang.

Kita harus sama-sama menerima hakikat bahawa tamadun yang sedang kita alami ini ialah tamadun minyak. Panggillah ianya apa sahaja – tamadun moden, pasca moden, late capitalism, pasca Marxism atau pra tamadun Islamic – hakikatnya, kita sedang bergelumang dalam tamadun konsumer yang dijana oleh minyak petrol yang senang didapati dan murah.

Semua yang wujud di sekeliling kita hari ini ada bersangkutan dengan bahan bakar minyak petrol. Kita diterangi, dipanasi dan diangkut ke hulu ke hilir oleh minyak. Kita makan dan kita minum minyak petrol. Makanan yang dihidangkan di meja makan kita adalah minyak. Tepung, beras, sayuran, daging atau ayam yang dimport, memerlukan pengangkutan. Pengangkutan bermakna minyak.

Gandum yang menghasilkan tepung, memerlukan baja. Baja ertinya minyak petrol. Ikan yang dicari di lautan, wajib ditangkap dengan kapal nelayan. Kapal nelayan bermakan bahan bakar minyak. Ayam yang kita bawa masuk dari Siam wajib dibawa dengan lori. Lori ini memerlukan minyak petrol. Kain baju yang kita pakai pun dari minyak. Hakikatnya, dalam tamadun konsumer hari ini adalah tamadun minyak petrol.

Kerana bahan bakar ini begitu penting, maka saya meminta kita memberi perhatian serapi mungkin terhadap gerak politik minyak yang sedang berlaku di sekeliling kita, agar kita tidak terus menjadi bebal minyak dan tiba-tiba melopong ternganga apabila Kancil kita tidak berupaya lagi bergerak.


Sikap bebal minyak saya perhatikan semakin menjadi-jadi. Satu petanda yang amat jelas ialah garis ekonomi kerajaan kita yang begitu ghairah dengan industri kereta dan motosikal. Perbincangan yang dilakukan di Parlimen oleh pihak kerajaan dan pihak yang bermimpi hendak menjadi kerajaan mengenai industri ini, hanya berupaya ke tahap permit AP. Otak ahli-ahli Parlimen kita tidak berupaya untuk berhujah dan menilai lebih jauh:

– Apakah industri kereta ini satu bentuk industri lama yang telah ditinggalkan zaman

– Apakah industri ini sengaja ditinggalkan kepada dunia ketiga kerana ianya bersifat ‘kotor’

– Apa pandangan para YB tentang masa depan industri ini yang dijangka hanya akan dimiliki oleh hanya lima syarikat motor gergasi dan tidak termasuk Protong atau kedai membaiki motor di Kampung Kerinchi.

– Apakah para YB tidak menyedari bahawa banyak syarikat kereta dalam dunia ini sedang menuju ke gaung kemuflisan, termasuk Plotong.

Akhir bulan ini atau bulan hadapan, kerajaan Indonesia akan melupuskan subsidi bahan bakar minyak untuk rakyat Indonesia. Pentabiran Presiden Susilo telah bersiap sedia untuk menghadapi apa sahaja kemungkinan. Keretakan rejim Suharto dahulu bemula apabila Suharto cuba menaikkan harga bahan bakar ini. Kali ini Susilo pula akan mencuba melakukan perkara yang sama dalam suasana pasca reformasi. Saya berharap semua penganut bebal minyak akan mengikuti apa yang akan berlaku di Indonesia dan bukan hanya bersembang kosong tentang AP.

No comments: